30 Oktober 2010

MALAM MESRA AIDILFITRI 2010 KAMPUNG MASJID BETONG MERIAH

16 September 2010

BETONG. (Khamis)Sekitar 400 orang penduduk Kampung Melayu Betong telah mengunjungi perkarangan Gelanggang Permainan Kampung Masjid Betong semasa berlangsungnya Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2010 semalam.

Majlis yang dianjurkan bersama JKKK dan Ranting PBB kampung Masjid Betong merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang bersama sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat Kampung Masjid Betong yang berlangsung dengan cukup meriah dimana ianya turut dirasmikan oleh Penghulu Kampung Melayu Betong Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit.

Berucap dalam majlis berkenaan, Zawawie berpesan kepada semua penduduk kampung agar sentiasa menerapkan semangat kerjasama dan berpasukan dalam merealisasikan pembangunan dan kemajuan kampung.

Perpaduan akan dapat dikekalkan jika semua penduduk kampung dapat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kampung yang dirancang bersama. Dan program yang dijalankan adalah hasil daripada percambahan buah fikiran semua anak-anak kampung yang mampu memikirkan idea-idea yang bernas untuk diketengahkan kepada masyarakat umum. Jika ianya berlaku sudah pasti akan dapat memberi faedah yang berguna kepada kemajuan kampung.

Pada masa yang sama pertelingkahan haruslah dielakkan dan jangan menimbulkan kekecohan dengan meracuni pemikiran penduduk kampung dengan menimbulkan isu-isu sensitif kepada umum kerana ianya pasti akan memberikan kesan yang menjurus kepada perpecahan.

Justeru itu, warga kampung juga haruslah bersama meningkatkan perpaduan demi generasi yang akan datang dan kita haruslah mendidik mereka dengan memberi didikan yang sempurna demi masa depan yang lebih terjamin dan bermakna.

Pada majlis itu juga Zawawie merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada penduduk kampung yang telah bekerjasama semasa kunjungan Yang Berhormat sempena Hari Raya tempohari dan menyampaikan ucapan penghargaan daripada pihak Yang Berhormat di atas layanan yang telah diberikan oleh penduduk kampung serta menyeru kepada semua penduduk kampung agar dapat menfaatkan sepenuhnya wang pemberian bantuan peralatan rumah yang disalurkan oleh pihak kerajaan sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Berhormat semasa kunjungan Hari raya di kampung tersebut.

Berbagai aktiviti turut dijalankan pada majlis tersebut antaranya ialah pertandingan karaoke untuk kanak-kanak 12 tahun kebawah yang mana adik Siti Norsanasiah bt Mohd Aderus telah menjuarai pertandingan tersebut manakala adik Dayang Melisa dan Adik Noshafiq bin Jamari masing-masing ditempat kedua dan ketiga.

Pertandingan Bertandak turut diadakan dan dua kategori dipertandingka. Kategori kanak-kanak pasangan Adik beradik Adeel Nazhim bin ismail dan Ayu Najiha bt Ismail telah menjadi johan dan tempat kedua pasangan Siti Norsanasiah bt Mohd Aderus dan Norhafiq bin Jamari manakala ketiga pula pasangan adik Dayang Malisa dan Adik Nurul Husna bt Taib.

Untuk Kategori Dewasa pasangan Den bin Mang dan Mohiden bin Amit telah menjuarai pertandingan tersebut. Tempat kedua pasangan Gasi bin Hj Anga dan Morini bin Karim manakala ketiga pasangan Sulong bin Unai dan Morni bin Mat.

Terdahulu aktiviti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Prasekolah dan TABIKA juga dijalankan yang mana telah diadakan pada 14 september yang lalu disekolah masing-masing. Bagi kategori Prasekolah adik Luciana Devega ak Riat memenangi pertandingan tersebut dan ditempat kedua adik Nik Mardhiah bt Nik Ab Rahman manakala adik Noormaidatul Akma bt Hassan dt tempat ketiga.

Kategori TABIKA adik Nurliyana Syahirah bt Syaharin menjadi johan manakala adik Mohd Aireel hakimi bin Saleman dan Adik Abang Iman Muazzhim bin Abang Mustapha masing-masing ditempat kedua dan ketiga.

Cabutan tiket bertuah turut dijalankan dimana sebanyak 6 buah hamper menhadi rebutan pada majlis tersebut.

Majlis tersebut turut dihadiri KK Wan Ahmed bin Wan Chee ketua kampung Baru Hulu Betong, KK Segara bin Dukari ketua kampung Hilir Betong, Abdul Rahim Hj Jaini Ketua Ranting PBB Kampung Baru Betong. turut hadir KK Hjh Rasidah bt Hj Julaihi Ketua kampung Masjid Betong dan Abang Suhaili bin Abang Pay Ketua Ranting PBB Kampung Masjid Betong.

Sambutan hari Malaysia yang turut di rancang dalam aturcara program tidak dapat dilancarkan memandangkan program yang dijalankan berakhir awal dan aktiviti tersebut banyak melibatkan kanak-kanak.

MESRA RAYA BERSAMA PEMIMPIN KAMPUNG MASJID BETONG MERIAH

13 September 2010

BETONG. JKKK Kampung Masjid Betong dengan kerjasama Ranting PBB kampung Masjid Betong telah mengadakan majlis Mesra Raya Bersama Pemimpin sempena kunjungan Hari Raya aidilfitri tahun 2010 Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang Timbalan Ketua Menteri Sarawak bersama rombongan ke kampung Melayu Betong. Kunjungan tersebut merupakan sesi lawatan rasmi beliau semasa Hari Raya pada tahun ini untuk masyarakat di Betong semalam.

Majlis yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung dimana seramai 150 penduduk kampung turut hadir pada majlis yang berlangsung di Gelanggang Serbaguna Kampung Masjid Betong tersebut.

Pada majlis berkenaan juga Jabu telah menyampaikan cek bernilai RM 18,900.00 untuk 63 buah rumah penduduk kampung Masjid Betong yang melibatkan sumbangan RM 300.00 sebuah rumah menerusi Ketua Kampung, kampung tersebut.

Jabu menerusi majlis berkenaan juga mengumumkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM 5,000.00 kepada JKKK Kampung Masjid Betong. Ahli Parlimen Betong menerusi wakilnya juga mengumumkan peruntukan bernilai RM 5,000.00 kepada JKKK berkenaan.

Jabu juga mengumumkan peruntukan RM 15,000.00 untuk menaiktaraf dan membangunkan gelanggang permainan di Kampung Masjid Betong bagi membolehkan anak—anak kampung aktif dalam bidang sukan sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 2 jenis sukan di setiap Bahagian.

“Usaha tersebut juga merupakan salah satu langkah awal mewujudkan program sukan disetiap daerah selepas ini dan semua kampung digalakkan menyertai setiap bidang sukan yang boleh diketengahkan keperingkat yang lebih tinggi”. Menurut Jabu.

“Pada masa yang sama, kerajaan menerusi Barisan Nasional telah merancang untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara yang maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Dalam usaha itu kerajaan amat menitik beratkan pendidikan sebagai salah satu langkah bagi mencapai tujuan tersebut dan dalam RMK-10 kami telah memohon dengan kerajaan pusat untuk meluluskan bagi mewujudkan Politeknik di Betong ini untuk kepentingan pendidikan anak-anak kita disini selepas ini”. Tambah Jabu.

“Perancangan yang bertepatan dengan tujuan tersebut, jika dilihat telah dapat dicapai oleh pencapaian Ketua Kampung disini dimana Keys Perfomance Indeks (KPI) menepati bidang yang dituntut dimana beliau telah menyenaraikan 24 orang graduan yang telah dilahirkan di Kampung ini dan saya mahu senarai ini akan terus bertambah dari tahun ke tahun”. Kata Jabu ketika mengulas ucapan alu-aluan Ketua Kampung Masjid Betong KK Hjh Rasidah bt Hj Julaihi yang menekankan pendidikan merupakan salah satu sumber kemajuan kampung tersebut.

Jabu juga turut menyampaikan hadiah dan sumbangan kepada pemenang dan penerima dalam aktiviti yang turut diadakan pada majlis berkenaan antaranya ialah penyampaian Insentif Galakan Pelajar Cemerlang dimana 6 orang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun 2009 peringkat Kampung berkenaan.

Penyampaian Sumbangan Kebajikan kepada Ibu tunggal (4 orang), Bapa Tunggal( 1 orang), Orang Kurang Upaya (OKU)( 7 orang) dan Warga Emas(8 orang) turut disampaikan.

Penyampaian Hadiah kepada pemenang Pertandingan Hiasan Lampu (elektrik) juga turut diadakan dimana Abdul Nasir bin Adamsah telah menjadi johan, Tuan Haji Abang Taha bin Abang Bujang dan Abang Taha bin Abang Spawi yang masing-masing ditempat kedua dan ketiga pertandingan tersebut.

Ketua Ranting PBB Kampung Masjid Betong Abang Suhaili bin Abang Pay juga telah menyampaikan cenderamata kepada ketiga-tiga Yang Berhormat yang hadir bersama dalam kunjungan Mesra Raya pada sesi akhir lawatan tersebut.

Turut meraikan kunjungan pada lawatan kali ini ialah YB Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Betong, YB Tuan Robert Lawson Chuat anak Entering ADUN N32 Bukit Saban, Datin Sri Empiang Jabu, Dato Romie Sigan Daniel Residen Bahagian Betong, Ketua-ketua jabatan, Ketua Kaum, Pengerusi Persatuan dan agensi-agensi di sekitar Betong.

LEMBAGA AMANAH MELAYU BETONG BERI SUMBANGAN HARI RAYA UNTUK GOLONGAN YANG MEMERLUKAN.

09 September 2010

BETONG(Ahad). Lembaga Amanah Melayu Betong (LAMB) mengadakan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada beberapa golongan di Betong semalam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong menyaksikan seramai 99 penerima dikalangan golongan Warga Emas (yang berusia 70 tahun dan keatas), Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang melibatkan Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Melayu Passa Betong.

Selain sumbangan untuk golongan terbabit, Penggali Kubur dan orang yang memandikan jenazah turut menerima sumbangan daripada Lembaga Amanah Melayu Betong.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban kepada golongan tersebut dalam menguruskan perbelanjaan semasa berlangsungnya hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Bantuan serupa bukan sahaja pada tahun ini malahan tahun-tahun sebelum ini pun kita telah memberi sumbangan serupa kepada golongan-golongan yang memerlukan dan berharap sumbangan ini digunakan dengan sebaiknya bagi mereka menguruskan persiapan hari raya nanti tetapi mungkin sebelum ini majlis yang diadakan tidaklah semeriah kali ini kerana pihak lembaga tidak mahu memperbesarkan majlis kerana ianya diadakan pada masa bulan puasa”. Menurut Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Penghulu Kampung Melayu Betong semasa ucapan alu-aluan beliau.

“setiap tahun kita akan memantau dan mengenal pasti golongan-golongan yang kurang berkemampuan untuk kita berikan sumbangan bukan sahaja sempena hari raya malah kita juga akan menilai dan mempastikan setiap masa mereka dibela dan diberi bantuan. Inilah hasrat kita dan ianya merupakan tanggungjawab pihak Lembaga”.

“Kalau ada dikalangan golongan tersebut tercicir daripada pemberian tersebut tolong maklumkan kepada pihak kita bagi kita memberi sumbangan sekadar yang termampu bagi kita sama-sama merasai nikmat pemberian Nya dan sama-sama memeriahkan suasana Hari Raya nanti”. Tambah beliau.

Majlis yang dilangsung dalam suasana meriah dan cukup memberi makna kepada golongan penerima dan diharap akan dapat dimanfaatkan dengan sebetulnya pemberian tersebut.

Pada majlis tersebut juga Abang Zawawie menyerahkan cek-cek yang telah diserahkan oleh pihak Yang Berhormat sebagai sumbangan untuk melaksanakan aktiviti sambutan aidilfitri di peringkat kampung untuk setiap surau dan masjid sempena kunjungan rombongan mereka pada 12 september 2010 di kampung Melayu Betong nanti.

Setiap surau turut menerima cek sebanyak RM 1,500.00 termasuk kampung Masjid Betong manakala Masjid menerima RM 2,500.00.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ustaz Azimin bin Shakir Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Betong.

Turut hadir ialah KK Haji Abang Hussin bin Haji Abang Mahdi, Pengerusi Lembaga Amanah Melayu Betong, Ketua-ketua Kampung, ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Betong serta jemputan khas

Sebelum majlis berakhir semua jemputan dan penerima berkesempatan bersembahyang maghrib berjemaah dan menikmati jamuan berbuka puasa bersama-sama.

SAMBUTAN RAYA KAMPUNG MASJID BETONG SEDERHANA TETAPI CERIA

07 September 2010

BETONG (Jumaat). Suasana sambutan Hari Raya menjadi suram bila aktiviti bertuntung lampu minyak tanah tidak dapat diadakan di Betong. Kemeriahan adat bertuntung lampu minyak tanah yang menjadi amalan dari dahulu lagi terpaksa dilupakan apabila menjelang malam 7 likur hingga beberapa malam seterusnya hujan turun di hampir setiap kawasan di Betong.

Hanya kerdipan lampu neon yang berbagai warna dan corak menghiasi setiap buah rumah di kawasan kampung tersebut dapat menceriakan suasana pada malam tersebut.

JKKK Kampung Masjid Betong dengan Kerjasama Ranting PBB Kampung Masjid Betong telah bersetuju mengadakan pertandingan Hiasan Lampu Elektrik bagi menyerikan suasana malam hari Raya di kampung tersebut.

Dengan adanya pertandingan tersebut semangat Raya dapat dirasakan menjelangnya hari lebaran 1 Syawal yang dinantikan umat Islam setelah sebulan berpuasa. Ianya juga sebagai satu aktiviti yang dirancang bersama Ranting PBB Kampung Masjid Betong. Semangat satu padu dapat diamalkan bila hampir semua rumah dihiasi dengan kerlipan lampu hiasan bagi mencantikkan malam Raya.

Pihak jawatankuasa telah menilai pertandingan sehari sebelum hari raya dan seterusnya pada malam raya bagi mencari dan memperolehi keputusan yang tepat bagi menilai keceriaan,kreativiti serta beberapa perkara yang perlu dinilai dalam pertandingan tersebut.

Keputusan pertandingan juga telah dinilai pada malam tersebut dan akan diumumkan pada majlis Lawatan Yang Berhormat pada hari Raya Ketiga nanti ke kampung Melayu Betong.

Pertandingan tersebut telah menobatkan Abdul Nasir sebagai pemenang dalam pertandingan tersebut manakala Tuan Haji Abang Taha Bin Abang Bujang dan Abang Taha bin Abang Spawi masing-masing ditempat kedua dan ketiga pada majlis tersebut.

Selain pertandingan tersebut Ranting PBB Kampung Masjid Betong turut menghias Pintu Gerbang Kampung bagi mencantikkan suasana dan kemeriahan sambutan Syawal tahun ini. Aktiviti tersebut juga merupakan salah satu perancangan PBB dalam sambutan Raya di kampung tersebut.

Tamat