16 Ogos 2010

KAMPUNG MELAYU BETONG AKAN MENGADAKAN MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI 2010

GANDINGAN BARU.. Abdul Ropa, Kon dan Senie

"SAYA AKAN MELEPAS JAWATAN SAYA"... Abang Zawawie

Ahli yang hadir


BETONG. (Ahad). Penduduk Kampung Melayu Betong akan mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2010 pada 18 September 2010 bersamaan 09 Syawal 1431H dan akan dilangsungkan di Dewan Panglima Rentap Betong sebagaimana yang telah dipersetujui apabila Jawatankuasa Majlis Ramah Tamah Kampung Melayu Betong mengadakan mesyuarat bagi membincangkan untuk mengadakan majlis tersebut pada hari ini.

Mesyuarat yang telah diadakan di Dewan Al-Husna Masjid Jamek Betong, telah dihadiri oleh seramai 25 orang yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Kampung, surau, persatuan dan penduduk-penduduk kampung yang berwibawa dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

Majlis yang merupakan salah satu aktiviti tahunan bagi penduduk Kampung Melayu Betong ini yang kebiasaannya akan menjemput Yang Berhormat pemimpin dikawasan tersebut untuk menjadi tetamu jemputan pada majlis tersebut.

Terdahulu Penghulu Kampung Melayu Betong Abang Zawawie bin Abang Rajit yang juga merupakan Pengerusi Majlis berkenaan pada tahun 2009 telah menyerahkan tampuk pengurusan kepada pengerusi yang baru iaitu Encik Kon Spawi bin Yahu yang juga merupakan Pengerusi Pengurusan Masjid Jamek Betong.

Kon telah dipilih dan diberi kepercayaan dan dipersetujui menjadi pengerusi setelah mendapat mandat daripada mesyuarat tersebut apabila Abang Zawawie telah melepaskan jawatan beliau setelah memegang jawatan tersebut selama tempoh 13 tahun.

Abang Zawawie yang juga terus dilantik menjadi penasihat pada majlis tersebut. Beliau berpesan dan juga memberi nasihat kepada semua hadirin dan ahli jawatankuasa yang baru supaya sentiasa memberi kerjasama dalam apa jua tugasan yang telah dipertanggungjawabkan dalam merealisasikan perjalanan program sentiasa berjalan dengan lancar dan komitmen yang sepenuhnya terhadap tugas tersebut.

Beliau juga berpendapat kepincangan dalam sesuatu perkara dapat di atasi apabila kita sama-sama mampu mengatasi dengan semangat kerjasama dikalangan ahli dan kesedaran daripada penduduk kampung yang sentiasa berfikiran negatif kepada sesuatu perkara yang berlaku. Beliau juga mengulas kadang-kadang masalah yang dihadapi timbul daripada sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga membabitkan pihak lain. Omong kosong di kedai kopi mungkin akan dianggap benar oleh sesetengah pihak yang berlawanan pendapat dengan pengurusan yang sedia ada.

Mesyuarat juga telah bersetuju untuk menjemput Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap ADUN N31 Layar, Yang Berhormat Datuk Douglas Uggah Embas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia juga merangkap ahli Parlimen P.204 Betong serta Yang Berhormat Encik Robert Lawson Chuat anak Entering ADUN N32 Bukit Saban sebagai tetamu Khas.

Bermodal sumbangan sebanyak RM 10,000.00 untuk pengurusan majlis dan RM 5,000.00 untuk insentif kepada pelajar cemerlang daripada pihak Yang Berhormat sebagaimana yang telah dijanjikan beliau semasa menghadiri Majlis ramah tamah Aidilfitri 2009 yang lalu untuk menjalankan aktiviti yang sama pada tahun ini.

Persetujuan juga telah diambil apabila setiap surau dipohon untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM 500.00 bagi menambah dana. Antaranya ialah Surau Damai Kampung Hilir Betong, Surau Darul Dakwah Kampung Tengah Betong, Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong, Surau Setia Kampung Baru Hilir Betong dan Surau Kampung Melayu Passa Betong. Masjid pula akan menyumbangkan RM 1,000.00.

Pemberian Insentif kepada pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan pada tahun 2009 turut diadakan. Sumbangan berbentuk wang tunai akan diberikan kepada pelajar tersebut. Memperolehi keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan UPSR, 5A dan keatas untuk PMR, 5A dan keatas untuk SPM dan Lulus Penuh untuk STPM.

Aktiviti lain yang turut akan diadakan ialah persembahan nyanyian dan tarian sebagai hiburan dalam majlis itu nanti.

14 Ogos 2010

JKKK KAMPUNG MASJID BETONG ANJUR MAJLIS KESYUKURAN MENYAMBUT RAMADAN

Sebahagian penduduk yang hadir sedang menjamu selera

Sabar... Menunggu giliran mengambil makanan


Alhamdulillah... penduduk yang hadir sama dalam majlis tersebut

BETONG. Seramai 200 penduduk Kampung Masjid Betong telah menghadiri majlis Kesyukuran Menyambut Ramadan yang telah dilangsungkan di Gelanggang Serbaguna Kampung Masjid Betong pada 9 Ogos 2010 yang lalu.

Majlis sambutan tersebut telah dianjurkan oleh JKKK Kampung Masjid Betong dengan kerjasama semua penduduk Kampung Masjid Betong. Ini adalah kesinambungan daripada sambutan yang telah diadakan pada tahun yang lalu yang diadakan ditempat yang sama dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan penduduk kampung.

Menurut Ketua Kampung Masjid Betong Hjh Rasidah bt Hj Julaihi, sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung pada tahun lepas telah memberi inspirasi kepada pihak JKKK untuk mengadakan majlis berkenaan di tempat yang sama. Sebarang masalah dan kekangan yang berlaku akan cuba hadapi dengan kerjasama daripada semua ahli Jawatankuasa dan pada tahun ini jawatankuasa sekali lagi telah berjaya melaksanakan program yang telah di rancang bersama penduduk kampung semasa mesyuarat bersama penduduk kampung sedikit masa yang lalu.

Dengan adanya majlis seumpama ini, silaturrahim dikalangan penduduk kampung tidak kira yang tua dan yang muda dapat dieratkan. Lebih-lebih lagi apabila penduduk kampung memberi kerjasama dengan menghulurkan sumbangan dalam menjayakan majlis tersebut.

Semangat kerjasama yang ditunjukkan merupakan nilai murni yang ingin diserapkan kedalam jiwa setiap penduduk kampung bagi mengukuhkan perpaduan dikalangan semua juga dakyah-dakyah negatif yang sering dihamburkan dapat dielakkan.

Pada majlis yang sama, jemputan yang hadir terdiri daripada Penghulu Kampung Melayu Betong Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Kaunselar Tuan Haji Rajuna bin Omar, Ketua-ketua Kampung dan penduduk-penduduk kampung turut hadir ialah penduduk kampung berdekatan yang dijemput sama dalam majlis tersebut.

Semoga kehadiran Ramadan al-Mubarak dapat mengelakkan semua daripada sifat keji dan mungkar.

11 Ogos 2010

JKKK KAMPUNG MASJID BETONG SERTAI PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT JABATAN PENERANGAN BERSAMA PLKN BUKIT SABAN BETONG

Berkumpul sebelum bergerak ke kawasan yang digotong royong

Ketua kaum turut serta dalam aktiiviti tersebut

Gotong royong bermula

Antara kawasan yang terlibat

BETONG. JKKK Kampung Masjid Betong turut serta dalam aktiviti Khidmat Masyarakat, Jabatan Penerangan Betong bersama PLKN Bukit Saban Betong dengan mengadakan aktiviti gotong royong. Aktiviti yang telah dilangsungkan pada 07 Ogos 2010 yang bermula sekitar jam 8.30 pagi telah mendapat kerjasama ahli JKKK Kampung tersebut.

Selain kawasan Kampung Masjid Betong yang terlibat dalam gotong royong tersebut 6 kawasan lain termasuklah Kampung Tengah. Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, kampung Baru Hilir, Kampung Melayu Passa dan Ibupejabat Polis Bahagian Betong.
 
Seramai 199 orang pelatih, 15 orang jurulatih PLKN Bukit Saban yang terlibat dalam aktiviti tersebut yang merupakan salah satu aktiviti yang diselit dalam takwim Jabatan Penerangan bersama PLKN.
Encik Saini bin Bojeng, Pengarah Penerangan Bahagian Betong/ Sri Aman turut berkesempatan memberi amanat kepada semua peserta dalam aktiviti gotong royong tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penghulu Kampung Melayu Betong Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Ketua Kampung Masjid Hjh Rasidah bt Hj Julaihi, Ketua-ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Komuniti Bestari dan penduduk kampung yang terlibat.

Majlis tersebut berakhir sekitar jam 11.30 pagi dengan jayanya.