25 Jun 2014

ANUGERAH DESA SEJAHTERA 1 MALAYSIA

Kampung Masjid Betong telah dicalonkan untuk menyertai Pertandingan Kesejahteraan Kampung bagi menilai kampung yang akan mewakili Bahagian Betong ke Anugerah Desa Sejahtera Satu Malaysia (ADS1M) peringkat Negeri Sarawak.
 
Pemilihan kali ini merupakan satu cabaran bagi JKKK Kampung Masjid Betong kerana tempoh yang amat singkat untuk menyediakan dokumen bagi penilaian yang akan diadakan pada 26 Jun 2014 oleh hakim penilaian.
 
Walaupun tempoh yang diberikan oleh pihak urusetia pertandingan begitu singkat, namun berkat kerjasama dan dokumentasi yang sedia ada maka cabaran ini diterima dengan terbuka oleh semua ahli jawatankuasa dengan kerjasama penduduk kampung.
 
Dalam pada itu semua urusan dapat dijalankan dengan baik dan akan cuba melakukan yang terbaik demi masyarakat Betong dan pemimpin yang sentiasa memberikan perangsang dalam memajukan diBetong.
 
Pada dasarnya untuk penghakiman ADS1M, penilaian dari Aspek Kepimpinan dan Pentadbiran difokuskan dengan teliti dan cuba diuruskan sebaiknya.
 
Begitu juga dari Aspek Pendidikan dan Latihan, bila mana ahli jawatankuasa yang ada dibantu oleh anak kampung telah melihat keperluan untuk memberi penekanan pendidikan untuk mereka berjaya. Dengan memberikan pendidikan kelas tambahan (tuisyen) kepada pelajar mereka mampu menghasilkan anak kampung yang berpendidikan.
 
Apapun dari segi pendidikan ianya amat diutamakan dan menyumbang kepada Aspek Ekonomi dan Usahawan bila sebahagian besar anak kampung merupakan penjawat awam dan menyumbang kepada ekonomi negara. Meskipun daripada faktor penilaian aspek yang ditekankan hanyalah untuk petani, nelayan dan penternak sahaja yang digunapakai tetapi ekonomi yang kami tekankan merangkumi pendidikan dan pekerjaan yang mampu kami sumbangkan kepada negara.
 
Jika dinilai Aspek Patriotisme dan Kemerdekaan dengan sendirinya sejarah kemerdekaan terus langsung dapat dilihat dengan kewujudan bangunan Kubu Lili yang masih tersergam kukuh bersebelahan kampung dimana bangunan sejarah sebelum merdeka terus kekal hingga kini dan dapat menjadi ingatan anak kampung.
 
Pun begitu memang tidak dapat disangkal Aspek Kerohanian dan Kemasyarakatan bukan menjadi alasan untuk tidak dijalankan bilamana Masjid merupakan tempat menjalankan aktiviti agama yang pastinya setiap hari pasti kewajipan menunaikan perintah agama disempurnakan. Lantaran itu aspak kerohanian tetap kekal wujud kepada anak kampung yang hidup dalam bermasyarakat disini.
 
Untuk merangkumkan nilai Aspek Kebersihan, Kesihatan dan Kecerian dalam penilaian yang difokuskan kepada satu kejayaan pemimpin sedia ada yang telah menyediakan jawapan yang tepat dengan adanya sistem berjadual pembuangan sampah sekitar kampung agar sentiasa bersih dan anak kampung yang sihat. Disamping itu, sistem sanitari yang lengkap disediakan diseluruh kampung serta sistem perparitan yang sentiasa ditambah baik. Hal ini dapat memberikan keceriaan kepada kampung.
 
Seiringan dengan itu Aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi ditokok tambah dengan kemahiran anak kampung yang terpelajar dan sokongan bahan yang disediakan oleh kerajaan terus membuka jaringan dengan dunia luar. Kewujudan Blog JKKK Kpg Masjid Betong juga memberi sebaran maklumat kepada sesiapa sahaja yang ingin mengetahui tentang kampung ini. Selain itu, wujudnya laman Facebook yang dapat terus memberi infomasi dan perbualan dengan rakan yang lain.
 
Lagipun kepimpinan yang mantap dengan gabungan bekas pesara guru yang menjadi pemimpin kampung yang diterajui memiliki personaliti yang lengkap dari segi penilaian sebagai seorang ketua.
 
Dengan gandingan yang lebih sesuai dan berkebolehan telah dibantu oleh Setiausaha yang juga seorang Guru Besar. Berkaliber untuk terus memimpin serta berpersonaliti menarik memberikan keyakinan untuk Kampung Masjid Betong sebagai sebuah kampung yang berjaya mencapai kejayaan dan disegani.

10 Jun 2014

SEJENAK BERSAMA...

Demi masa
Sesungguhnya kami akan bersama..
Meneruskan perjuangan ini..
Meskipun pelbagai kekangan yang dihadapi..

Namun langkah ini tidak akan berhenti di sini..

Akan ku genggam biar menjadi abu..
Akan ku julang biar setinggi awan biru..
Akan ku jaga biar sampai hujung dunia..

Di sini kami berdiri
Di sini kami menimba ilmu
Di sini jugalah kami mencari rezeki
Di sini jugalah kami akan bersemadi

Seandainya kami rebah..
Tidak mampu lagi mengorak langkah..
Namun kami pasrah
Kerana kami telah sedaya upaya
Membuktikan pada dunia
Yang kami juga seperti mereka..

Mencuba sebelum berjaya...
Pasti....

30 Oktober 2010

MALAM MESRA AIDILFITRI 2010 KAMPUNG MASJID BETONG MERIAH

16 September 2010

BETONG. (Khamis)Sekitar 400 orang penduduk Kampung Melayu Betong telah mengunjungi perkarangan Gelanggang Permainan Kampung Masjid Betong semasa berlangsungnya Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2010 semalam.

Majlis yang dianjurkan bersama JKKK dan Ranting PBB kampung Masjid Betong merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang bersama sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat Kampung Masjid Betong yang berlangsung dengan cukup meriah dimana ianya turut dirasmikan oleh Penghulu Kampung Melayu Betong Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit.

Berucap dalam majlis berkenaan, Zawawie berpesan kepada semua penduduk kampung agar sentiasa menerapkan semangat kerjasama dan berpasukan dalam merealisasikan pembangunan dan kemajuan kampung.

Perpaduan akan dapat dikekalkan jika semua penduduk kampung dapat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kampung yang dirancang bersama. Dan program yang dijalankan adalah hasil daripada percambahan buah fikiran semua anak-anak kampung yang mampu memikirkan idea-idea yang bernas untuk diketengahkan kepada masyarakat umum. Jika ianya berlaku sudah pasti akan dapat memberi faedah yang berguna kepada kemajuan kampung.

Pada masa yang sama pertelingkahan haruslah dielakkan dan jangan menimbulkan kekecohan dengan meracuni pemikiran penduduk kampung dengan menimbulkan isu-isu sensitif kepada umum kerana ianya pasti akan memberikan kesan yang menjurus kepada perpecahan.

Justeru itu, warga kampung juga haruslah bersama meningkatkan perpaduan demi generasi yang akan datang dan kita haruslah mendidik mereka dengan memberi didikan yang sempurna demi masa depan yang lebih terjamin dan bermakna.

Pada majlis itu juga Zawawie merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada penduduk kampung yang telah bekerjasama semasa kunjungan Yang Berhormat sempena Hari Raya tempohari dan menyampaikan ucapan penghargaan daripada pihak Yang Berhormat di atas layanan yang telah diberikan oleh penduduk kampung serta menyeru kepada semua penduduk kampung agar dapat menfaatkan sepenuhnya wang pemberian bantuan peralatan rumah yang disalurkan oleh pihak kerajaan sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Berhormat semasa kunjungan Hari raya di kampung tersebut.

Berbagai aktiviti turut dijalankan pada majlis tersebut antaranya ialah pertandingan karaoke untuk kanak-kanak 12 tahun kebawah yang mana adik Siti Norsanasiah bt Mohd Aderus telah menjuarai pertandingan tersebut manakala adik Dayang Melisa dan Adik Noshafiq bin Jamari masing-masing ditempat kedua dan ketiga.

Pertandingan Bertandak turut diadakan dan dua kategori dipertandingka. Kategori kanak-kanak pasangan Adik beradik Adeel Nazhim bin ismail dan Ayu Najiha bt Ismail telah menjadi johan dan tempat kedua pasangan Siti Norsanasiah bt Mohd Aderus dan Norhafiq bin Jamari manakala ketiga pula pasangan adik Dayang Malisa dan Adik Nurul Husna bt Taib.

Untuk Kategori Dewasa pasangan Den bin Mang dan Mohiden bin Amit telah menjuarai pertandingan tersebut. Tempat kedua pasangan Gasi bin Hj Anga dan Morini bin Karim manakala ketiga pasangan Sulong bin Unai dan Morni bin Mat.

Terdahulu aktiviti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Prasekolah dan TABIKA juga dijalankan yang mana telah diadakan pada 14 september yang lalu disekolah masing-masing. Bagi kategori Prasekolah adik Luciana Devega ak Riat memenangi pertandingan tersebut dan ditempat kedua adik Nik Mardhiah bt Nik Ab Rahman manakala adik Noormaidatul Akma bt Hassan dt tempat ketiga.

Kategori TABIKA adik Nurliyana Syahirah bt Syaharin menjadi johan manakala adik Mohd Aireel hakimi bin Saleman dan Adik Abang Iman Muazzhim bin Abang Mustapha masing-masing ditempat kedua dan ketiga.

Cabutan tiket bertuah turut dijalankan dimana sebanyak 6 buah hamper menhadi rebutan pada majlis tersebut.

Majlis tersebut turut dihadiri KK Wan Ahmed bin Wan Chee ketua kampung Baru Hulu Betong, KK Segara bin Dukari ketua kampung Hilir Betong, Abdul Rahim Hj Jaini Ketua Ranting PBB Kampung Baru Betong. turut hadir KK Hjh Rasidah bt Hj Julaihi Ketua kampung Masjid Betong dan Abang Suhaili bin Abang Pay Ketua Ranting PBB Kampung Masjid Betong.

Sambutan hari Malaysia yang turut di rancang dalam aturcara program tidak dapat dilancarkan memandangkan program yang dijalankan berakhir awal dan aktiviti tersebut banyak melibatkan kanak-kanak.

MESRA RAYA BERSAMA PEMIMPIN KAMPUNG MASJID BETONG MERIAH

13 September 2010

BETONG. JKKK Kampung Masjid Betong dengan kerjasama Ranting PBB kampung Masjid Betong telah mengadakan majlis Mesra Raya Bersama Pemimpin sempena kunjungan Hari Raya aidilfitri tahun 2010 Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang Timbalan Ketua Menteri Sarawak bersama rombongan ke kampung Melayu Betong. Kunjungan tersebut merupakan sesi lawatan rasmi beliau semasa Hari Raya pada tahun ini untuk masyarakat di Betong semalam.

Majlis yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung dimana seramai 150 penduduk kampung turut hadir pada majlis yang berlangsung di Gelanggang Serbaguna Kampung Masjid Betong tersebut.

Pada majlis berkenaan juga Jabu telah menyampaikan cek bernilai RM 18,900.00 untuk 63 buah rumah penduduk kampung Masjid Betong yang melibatkan sumbangan RM 300.00 sebuah rumah menerusi Ketua Kampung, kampung tersebut.

Jabu menerusi majlis berkenaan juga mengumumkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM 5,000.00 kepada JKKK Kampung Masjid Betong. Ahli Parlimen Betong menerusi wakilnya juga mengumumkan peruntukan bernilai RM 5,000.00 kepada JKKK berkenaan.

Jabu juga mengumumkan peruntukan RM 15,000.00 untuk menaiktaraf dan membangunkan gelanggang permainan di Kampung Masjid Betong bagi membolehkan anak—anak kampung aktif dalam bidang sukan sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 2 jenis sukan di setiap Bahagian.

“Usaha tersebut juga merupakan salah satu langkah awal mewujudkan program sukan disetiap daerah selepas ini dan semua kampung digalakkan menyertai setiap bidang sukan yang boleh diketengahkan keperingkat yang lebih tinggi”. Menurut Jabu.

“Pada masa yang sama, kerajaan menerusi Barisan Nasional telah merancang untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara yang maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Dalam usaha itu kerajaan amat menitik beratkan pendidikan sebagai salah satu langkah bagi mencapai tujuan tersebut dan dalam RMK-10 kami telah memohon dengan kerajaan pusat untuk meluluskan bagi mewujudkan Politeknik di Betong ini untuk kepentingan pendidikan anak-anak kita disini selepas ini”. Tambah Jabu.

“Perancangan yang bertepatan dengan tujuan tersebut, jika dilihat telah dapat dicapai oleh pencapaian Ketua Kampung disini dimana Keys Perfomance Indeks (KPI) menepati bidang yang dituntut dimana beliau telah menyenaraikan 24 orang graduan yang telah dilahirkan di Kampung ini dan saya mahu senarai ini akan terus bertambah dari tahun ke tahun”. Kata Jabu ketika mengulas ucapan alu-aluan Ketua Kampung Masjid Betong KK Hjh Rasidah bt Hj Julaihi yang menekankan pendidikan merupakan salah satu sumber kemajuan kampung tersebut.

Jabu juga turut menyampaikan hadiah dan sumbangan kepada pemenang dan penerima dalam aktiviti yang turut diadakan pada majlis berkenaan antaranya ialah penyampaian Insentif Galakan Pelajar Cemerlang dimana 6 orang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun 2009 peringkat Kampung berkenaan.

Penyampaian Sumbangan Kebajikan kepada Ibu tunggal (4 orang), Bapa Tunggal( 1 orang), Orang Kurang Upaya (OKU)( 7 orang) dan Warga Emas(8 orang) turut disampaikan.

Penyampaian Hadiah kepada pemenang Pertandingan Hiasan Lampu (elektrik) juga turut diadakan dimana Abdul Nasir bin Adamsah telah menjadi johan, Tuan Haji Abang Taha bin Abang Bujang dan Abang Taha bin Abang Spawi yang masing-masing ditempat kedua dan ketiga pertandingan tersebut.

Ketua Ranting PBB Kampung Masjid Betong Abang Suhaili bin Abang Pay juga telah menyampaikan cenderamata kepada ketiga-tiga Yang Berhormat yang hadir bersama dalam kunjungan Mesra Raya pada sesi akhir lawatan tersebut.

Turut meraikan kunjungan pada lawatan kali ini ialah YB Dato Sri Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Betong, YB Tuan Robert Lawson Chuat anak Entering ADUN N32 Bukit Saban, Datin Sri Empiang Jabu, Dato Romie Sigan Daniel Residen Bahagian Betong, Ketua-ketua jabatan, Ketua Kaum, Pengerusi Persatuan dan agensi-agensi di sekitar Betong.

LEMBAGA AMANAH MELAYU BETONG BERI SUMBANGAN HARI RAYA UNTUK GOLONGAN YANG MEMERLUKAN.

09 September 2010

BETONG(Ahad). Lembaga Amanah Melayu Betong (LAMB) mengadakan majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada beberapa golongan di Betong semalam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong menyaksikan seramai 99 penerima dikalangan golongan Warga Emas (yang berusia 70 tahun dan keatas), Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang melibatkan Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Melayu Passa Betong.

Selain sumbangan untuk golongan terbabit, Penggali Kubur dan orang yang memandikan jenazah turut menerima sumbangan daripada Lembaga Amanah Melayu Betong.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban kepada golongan tersebut dalam menguruskan perbelanjaan semasa berlangsungnya hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Bantuan serupa bukan sahaja pada tahun ini malahan tahun-tahun sebelum ini pun kita telah memberi sumbangan serupa kepada golongan-golongan yang memerlukan dan berharap sumbangan ini digunakan dengan sebaiknya bagi mereka menguruskan persiapan hari raya nanti tetapi mungkin sebelum ini majlis yang diadakan tidaklah semeriah kali ini kerana pihak lembaga tidak mahu memperbesarkan majlis kerana ianya diadakan pada masa bulan puasa”. Menurut Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Penghulu Kampung Melayu Betong semasa ucapan alu-aluan beliau.

“setiap tahun kita akan memantau dan mengenal pasti golongan-golongan yang kurang berkemampuan untuk kita berikan sumbangan bukan sahaja sempena hari raya malah kita juga akan menilai dan mempastikan setiap masa mereka dibela dan diberi bantuan. Inilah hasrat kita dan ianya merupakan tanggungjawab pihak Lembaga”.

“Kalau ada dikalangan golongan tersebut tercicir daripada pemberian tersebut tolong maklumkan kepada pihak kita bagi kita memberi sumbangan sekadar yang termampu bagi kita sama-sama merasai nikmat pemberian Nya dan sama-sama memeriahkan suasana Hari Raya nanti”. Tambah beliau.

Majlis yang dilangsung dalam suasana meriah dan cukup memberi makna kepada golongan penerima dan diharap akan dapat dimanfaatkan dengan sebetulnya pemberian tersebut.

Pada majlis tersebut juga Abang Zawawie menyerahkan cek-cek yang telah diserahkan oleh pihak Yang Berhormat sebagai sumbangan untuk melaksanakan aktiviti sambutan aidilfitri di peringkat kampung untuk setiap surau dan masjid sempena kunjungan rombongan mereka pada 12 september 2010 di kampung Melayu Betong nanti.

Setiap surau turut menerima cek sebanyak RM 1,500.00 termasuk kampung Masjid Betong manakala Masjid menerima RM 2,500.00.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ustaz Azimin bin Shakir Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Betong.

Turut hadir ialah KK Haji Abang Hussin bin Haji Abang Mahdi, Pengerusi Lembaga Amanah Melayu Betong, Ketua-ketua Kampung, ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Betong serta jemputan khas

Sebelum majlis berakhir semua jemputan dan penerima berkesempatan bersembahyang maghrib berjemaah dan menikmati jamuan berbuka puasa bersama-sama.

SAMBUTAN RAYA KAMPUNG MASJID BETONG SEDERHANA TETAPI CERIA

07 September 2010

BETONG (Jumaat). Suasana sambutan Hari Raya menjadi suram bila aktiviti bertuntung lampu minyak tanah tidak dapat diadakan di Betong. Kemeriahan adat bertuntung lampu minyak tanah yang menjadi amalan dari dahulu lagi terpaksa dilupakan apabila menjelang malam 7 likur hingga beberapa malam seterusnya hujan turun di hampir setiap kawasan di Betong.

Hanya kerdipan lampu neon yang berbagai warna dan corak menghiasi setiap buah rumah di kawasan kampung tersebut dapat menceriakan suasana pada malam tersebut.

JKKK Kampung Masjid Betong dengan Kerjasama Ranting PBB Kampung Masjid Betong telah bersetuju mengadakan pertandingan Hiasan Lampu Elektrik bagi menyerikan suasana malam hari Raya di kampung tersebut.

Dengan adanya pertandingan tersebut semangat Raya dapat dirasakan menjelangnya hari lebaran 1 Syawal yang dinantikan umat Islam setelah sebulan berpuasa. Ianya juga sebagai satu aktiviti yang dirancang bersama Ranting PBB Kampung Masjid Betong. Semangat satu padu dapat diamalkan bila hampir semua rumah dihiasi dengan kerlipan lampu hiasan bagi mencantikkan malam Raya.

Pihak jawatankuasa telah menilai pertandingan sehari sebelum hari raya dan seterusnya pada malam raya bagi mencari dan memperolehi keputusan yang tepat bagi menilai keceriaan,kreativiti serta beberapa perkara yang perlu dinilai dalam pertandingan tersebut.

Keputusan pertandingan juga telah dinilai pada malam tersebut dan akan diumumkan pada majlis Lawatan Yang Berhormat pada hari Raya Ketiga nanti ke kampung Melayu Betong.

Pertandingan tersebut telah menobatkan Abdul Nasir sebagai pemenang dalam pertandingan tersebut manakala Tuan Haji Abang Taha Bin Abang Bujang dan Abang Taha bin Abang Spawi masing-masing ditempat kedua dan ketiga pada majlis tersebut.

Selain pertandingan tersebut Ranting PBB Kampung Masjid Betong turut menghias Pintu Gerbang Kampung bagi mencantikkan suasana dan kemeriahan sambutan Syawal tahun ini. Aktiviti tersebut juga merupakan salah satu perancangan PBB dalam sambutan Raya di kampung tersebut.

Tamat

16 Ogos 2010

KAMPUNG MELAYU BETONG AKAN MENGADAKAN MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI 2010

GANDINGAN BARU.. Abdul Ropa, Kon dan Senie

"SAYA AKAN MELEPAS JAWATAN SAYA"... Abang Zawawie

Ahli yang hadir


BETONG. (Ahad). Penduduk Kampung Melayu Betong akan mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2010 pada 18 September 2010 bersamaan 09 Syawal 1431H dan akan dilangsungkan di Dewan Panglima Rentap Betong sebagaimana yang telah dipersetujui apabila Jawatankuasa Majlis Ramah Tamah Kampung Melayu Betong mengadakan mesyuarat bagi membincangkan untuk mengadakan majlis tersebut pada hari ini.

Mesyuarat yang telah diadakan di Dewan Al-Husna Masjid Jamek Betong, telah dihadiri oleh seramai 25 orang yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Kampung, surau, persatuan dan penduduk-penduduk kampung yang berwibawa dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

Majlis yang merupakan salah satu aktiviti tahunan bagi penduduk Kampung Melayu Betong ini yang kebiasaannya akan menjemput Yang Berhormat pemimpin dikawasan tersebut untuk menjadi tetamu jemputan pada majlis tersebut.

Terdahulu Penghulu Kampung Melayu Betong Abang Zawawie bin Abang Rajit yang juga merupakan Pengerusi Majlis berkenaan pada tahun 2009 telah menyerahkan tampuk pengurusan kepada pengerusi yang baru iaitu Encik Kon Spawi bin Yahu yang juga merupakan Pengerusi Pengurusan Masjid Jamek Betong.

Kon telah dipilih dan diberi kepercayaan dan dipersetujui menjadi pengerusi setelah mendapat mandat daripada mesyuarat tersebut apabila Abang Zawawie telah melepaskan jawatan beliau setelah memegang jawatan tersebut selama tempoh 13 tahun.

Abang Zawawie yang juga terus dilantik menjadi penasihat pada majlis tersebut. Beliau berpesan dan juga memberi nasihat kepada semua hadirin dan ahli jawatankuasa yang baru supaya sentiasa memberi kerjasama dalam apa jua tugasan yang telah dipertanggungjawabkan dalam merealisasikan perjalanan program sentiasa berjalan dengan lancar dan komitmen yang sepenuhnya terhadap tugas tersebut.

Beliau juga berpendapat kepincangan dalam sesuatu perkara dapat di atasi apabila kita sama-sama mampu mengatasi dengan semangat kerjasama dikalangan ahli dan kesedaran daripada penduduk kampung yang sentiasa berfikiran negatif kepada sesuatu perkara yang berlaku. Beliau juga mengulas kadang-kadang masalah yang dihadapi timbul daripada sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga membabitkan pihak lain. Omong kosong di kedai kopi mungkin akan dianggap benar oleh sesetengah pihak yang berlawanan pendapat dengan pengurusan yang sedia ada.

Mesyuarat juga telah bersetuju untuk menjemput Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap ADUN N31 Layar, Yang Berhormat Datuk Douglas Uggah Embas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia juga merangkap ahli Parlimen P.204 Betong serta Yang Berhormat Encik Robert Lawson Chuat anak Entering ADUN N32 Bukit Saban sebagai tetamu Khas.

Bermodal sumbangan sebanyak RM 10,000.00 untuk pengurusan majlis dan RM 5,000.00 untuk insentif kepada pelajar cemerlang daripada pihak Yang Berhormat sebagaimana yang telah dijanjikan beliau semasa menghadiri Majlis ramah tamah Aidilfitri 2009 yang lalu untuk menjalankan aktiviti yang sama pada tahun ini.

Persetujuan juga telah diambil apabila setiap surau dipohon untuk menyalurkan sumbangan sebanyak RM 500.00 bagi menambah dana. Antaranya ialah Surau Damai Kampung Hilir Betong, Surau Darul Dakwah Kampung Tengah Betong, Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong, Surau Setia Kampung Baru Hilir Betong dan Surau Kampung Melayu Passa Betong. Masjid pula akan menyumbangkan RM 1,000.00.

Pemberian Insentif kepada pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan pada tahun 2009 turut diadakan. Sumbangan berbentuk wang tunai akan diberikan kepada pelajar tersebut. Memperolehi keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan UPSR, 5A dan keatas untuk PMR, 5A dan keatas untuk SPM dan Lulus Penuh untuk STPM.

Aktiviti lain yang turut akan diadakan ialah persembahan nyanyian dan tarian sebagai hiburan dalam majlis itu nanti.

14 Ogos 2010

JKKK KAMPUNG MASJID BETONG ANJUR MAJLIS KESYUKURAN MENYAMBUT RAMADAN

Sebahagian penduduk yang hadir sedang menjamu selera

Sabar... Menunggu giliran mengambil makanan


Alhamdulillah... penduduk yang hadir sama dalam majlis tersebut

BETONG. Seramai 200 penduduk Kampung Masjid Betong telah menghadiri majlis Kesyukuran Menyambut Ramadan yang telah dilangsungkan di Gelanggang Serbaguna Kampung Masjid Betong pada 9 Ogos 2010 yang lalu.

Majlis sambutan tersebut telah dianjurkan oleh JKKK Kampung Masjid Betong dengan kerjasama semua penduduk Kampung Masjid Betong. Ini adalah kesinambungan daripada sambutan yang telah diadakan pada tahun yang lalu yang diadakan ditempat yang sama dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan penduduk kampung.

Menurut Ketua Kampung Masjid Betong Hjh Rasidah bt Hj Julaihi, sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung pada tahun lepas telah memberi inspirasi kepada pihak JKKK untuk mengadakan majlis berkenaan di tempat yang sama. Sebarang masalah dan kekangan yang berlaku akan cuba hadapi dengan kerjasama daripada semua ahli Jawatankuasa dan pada tahun ini jawatankuasa sekali lagi telah berjaya melaksanakan program yang telah di rancang bersama penduduk kampung semasa mesyuarat bersama penduduk kampung sedikit masa yang lalu.

Dengan adanya majlis seumpama ini, silaturrahim dikalangan penduduk kampung tidak kira yang tua dan yang muda dapat dieratkan. Lebih-lebih lagi apabila penduduk kampung memberi kerjasama dengan menghulurkan sumbangan dalam menjayakan majlis tersebut.

Semangat kerjasama yang ditunjukkan merupakan nilai murni yang ingin diserapkan kedalam jiwa setiap penduduk kampung bagi mengukuhkan perpaduan dikalangan semua juga dakyah-dakyah negatif yang sering dihamburkan dapat dielakkan.

Pada majlis yang sama, jemputan yang hadir terdiri daripada Penghulu Kampung Melayu Betong Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Kaunselar Tuan Haji Rajuna bin Omar, Ketua-ketua Kampung dan penduduk-penduduk kampung turut hadir ialah penduduk kampung berdekatan yang dijemput sama dalam majlis tersebut.

Semoga kehadiran Ramadan al-Mubarak dapat mengelakkan semua daripada sifat keji dan mungkar.

11 Ogos 2010

JKKK KAMPUNG MASJID BETONG SERTAI PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT JABATAN PENERANGAN BERSAMA PLKN BUKIT SABAN BETONG

Berkumpul sebelum bergerak ke kawasan yang digotong royong

Ketua kaum turut serta dalam aktiiviti tersebut

Gotong royong bermula

Antara kawasan yang terlibat

BETONG. JKKK Kampung Masjid Betong turut serta dalam aktiviti Khidmat Masyarakat, Jabatan Penerangan Betong bersama PLKN Bukit Saban Betong dengan mengadakan aktiviti gotong royong. Aktiviti yang telah dilangsungkan pada 07 Ogos 2010 yang bermula sekitar jam 8.30 pagi telah mendapat kerjasama ahli JKKK Kampung tersebut.

Selain kawasan Kampung Masjid Betong yang terlibat dalam gotong royong tersebut 6 kawasan lain termasuklah Kampung Tengah. Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, kampung Baru Hilir, Kampung Melayu Passa dan Ibupejabat Polis Bahagian Betong.
 
Seramai 199 orang pelatih, 15 orang jurulatih PLKN Bukit Saban yang terlibat dalam aktiviti tersebut yang merupakan salah satu aktiviti yang diselit dalam takwim Jabatan Penerangan bersama PLKN.
Encik Saini bin Bojeng, Pengarah Penerangan Bahagian Betong/ Sri Aman turut berkesempatan memberi amanat kepada semua peserta dalam aktiviti gotong royong tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penghulu Kampung Melayu Betong Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Ketua Kampung Masjid Hjh Rasidah bt Hj Julaihi, Ketua-ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Komuniti Bestari dan penduduk kampung yang terlibat.

Majlis tersebut berakhir sekitar jam 11.30 pagi dengan jayanya.

29 Julai 2010

JKKK KAMPUNG MASJID BETONG ADAKAN MESYUARAT BERSAMA PENDUDUK KAMPUNG

BETONG. JKKK Kampung Masjid Betong mengadakan Mesyarat Bersama Penduduk-Penduduk kampung Masjid Betong. Mesyuarat yang diadakan pada 29 Julai 2010 bermula jam 8.30 malam berlangsung di Dewan Al-Husna Masjid Jamek Betong dengan menjemput semua penduduk kampung Masjid Betong.

Mesyuarat diadakan adalah bertujuan untuk merancang sambutan pada bulan Ramadhan dan seterusnya untuk aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan pada Hari Raya nanti. Selain itu, sebarang perancangan dan pendapat daripada penduduk kampung turut dialu-alukan untuk memberi ruang semua penduduk kampung menyuarakan pandangan mereka.

Semua penduduk kampung Masjid Betong adalah dijemput hadir dalam mesyuarat berkenaan. Sebarang kemusykilan tentang tarikh, masa dan tempat mesyuarat berkenaan bolehlah berhubung dengan KK Hjh Rasidah bt Hj Julaihi Pengerusi JKKK Kampung Masjid Betong di talian 083-472763 atau Encik Sharkawi bin Amek Setiausaha JKKK Kampung Masjid Betong ditalian 013-8241351.

27 Julai 2010

JKKK KAMPUNG MASJID BETONG SERTAI PROGRAM SEJIWA SENADA

Tempat Kedua acara Lumba Perahu Darat

Tersungkur... walaupun begitu mereka di tempat kedua



Acara Mengupas Buah Pinang

Street Soccer hanya mampu sampai ke suku akhir

BETONG. 25 Julai (ahad). Dalam rangka kerajaan mendekati rakyat, berbagai aktiviti telah dirancang bagi merancakkan pendekatan tersebut, Program Sejiwa Senada Betong 2010 antara yang telah berlangsung dengan jayanya. Program tersebut berakhir dengan cukup meriah.  Program yang berlangsung bermula pada 23 hingga 25 Julai 2010 di Betong telah mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan penduduk kampung dan masyarakat sekitar Betong

Berbagai aktiviti telah dirancang dan disajikan dalam program tersebut. Semasa berlangsungnya program itu Bahagian Betong bagaikan satu Pesta. Dianggarkan 3000 orang pengunjung luar telah datang ke Betong untuk sama-sama meraikan Perasmian Majlis tersebut yang telah dilangsungkan di Dewan Panglima Rentap Betong.

JKKK Kampung Masjid Betong turut menyertai aktiviti sempena Program Sejiwa Senada Betong 2010. Antara aktiviti yang disertai ialah Sukaneka dimana JKKK Kampung Masjid Betong telah menjuarai permainan Kuit, Menganyam Ketupat, Mengupas Buah Pinang dan Lumba Dalam Guni (kategori wanita). Mereka juga menduduki tempat kedua dalam acara Lumba Perahu Darat(terbuka dewasa).

Walaupun tidak menyertai kesemua acara namun keputusan yang diperolehi cukup membanggakan.

Tahniah kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian........

30 Mei 2010

PROGRAM SUKANEKA, 1 MALAYSIA BERSAMA PEMIMPIN

pasukan zon Merah hanya mampu ditempat ketiga

Hadiah tempat ketiga RM300.00

acara pancing botol
anyam ketupat

acara kuit

Betong, 29 Mei 2010. Program sukaneka, sempena majlis 1 malaysia bersama pemimpin yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Betong berkesudahan dengan kemenangan kepada pasukan zon Biru yang diwakili oleh ranting PBB Kampung Tengah / Hilir Betong. Manakala naib johan pula jatuh kepada zon Kuning yang disertai bersama oleh ranting PBB Kampung Baru Hulu / Hilir Betong. Biarpun pasukan “PASSMA” tewas pada pertandingan Sukaneka peringkat kampung Melayu Betong tersebut namun persaingan dalam merebut kedudukan tetap penuh dengan semangat kesukanan.

Keputusan kejohanan:

PANCING BOTOL

Johan - Zon Kuning
Naib Johan - Zon Biru
Ketiga - Zon Merah
 
ISI AIR DALAM BOTOL MENGGUNAKAN SPAN

Johan - Zon Kuning
Naib Johan - Zon Merah
Ketiga - Zon Biru

LARI BAWA BOLA PING-PONG MENGGUNAKAN SUDU

Johan - Zon Biru
Naib Johan - Zon Kuning
Ketiga - Zon Merah
 
TIUP BELON SEHINGGA PECAH

Johan - Zon Biru
Naib Johan - Zon Merah
Ketiga - Zon Kuning
 
LARI DALAM GUNI

Johan - Zon Merah
Naib Johan - Zon Biru
Ketiga - Zon Kuning
 
TARIK TALI LELAKI

Pertandingan dibatalkan atas beberapa sebab.
 
TARIK TALI WANITA

Pertandingan dibatalkan atas beberapa sebab.
 
KUIT

Johan - Zon Biru
Naib Johan - Zon Merah
Ketiga - Zon Kuning
 
MENGANYAM KETUPAT

Johan - Zon Biru
Naib Johan - Zon Kuning
Ketiga - Zon Merah
 
BOLA SEPAK LELAKI (BERKAIN PELIKAT)

Johan - Zon Kuning
Naib Johan - Zon Biru
Ketiga - Zon Merah
 
PERTANDINGAN KUIH ASLI

Johan - Zon Kuning
Naib Johan - Zon Merah
Ketiga - Zon Biru
 
MARKAH

Zon Biru        - 71 markah
Zon Kuning    - 69 markah
Zon Merah     - 58 markah

KEDUDUKAN

Johan         - Zon Biru
Naib Johan  - Zon Kuning
Ketiga        - Zon Merah

 
SYABAS dan TAHNIAH!!!....

JKKK KAMPUNG MASJID BETONG SERTAI PROGRAM , 1 MALAYSIA BERSAMA PEMIMPIN

Khemah pasukan zon Merah


Nampak Ceria berbaju merah

Encik Isik anak Utau merasmikan majlis berkenaan

Betong, 29 Mei 2010. Program 1 Malaysia Bersama Pemimpin yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas(JASA) Betong dengan kerjasama ranting PBB Kampung Melayu Betong berlangsung dengan meriahnya. Seramai 400 orang penduduk kampung Melayu Betong terlibat sama dalam penganjuran majlis berkenaan.

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Encik Isik anak Utau Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak yang mewakili Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang, pada sebelah paginya.

Ketika berucap menjayakan dan merasmi majlis berkenaan, Isik menyeru kepada semua penduduk supaya sentiasa menjaga perpaduan kaum, tidak kira dimana berada dibandar mahupun didesa sebagaimana dalam teras gagasan 1 Malaysia.

“Perpaduan adalah satu daripada teras gagasan 1 Malaysia dan kita haruslah menjaga keharmonian dan perpaduan kaum yang telah menjadi amalan kita disini selama ini. Perhubungan rapat dan kerjasama antara masyarakat setempat haruslah sentiasa diamalkan bagi mengelak kekecohan dan perkara yang tidak diingini berlaku. Mungkin kita disini berbeza dengan dibandar kerana kita dapat melaksanakan aktiviti bersama” .Seru Isik.

Dalam majlis berkenaan beliau telah meluluskan peruntukan sejumlah RM 5,000.00 untuk pelaksanaan program seumpama itu bagi tahun yang akan datang. Beliau turut mencadangkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengendalikan kebajikan dan sukan Kampung Melayu Betong.

“Dalam jawatankuasa itu nanti akan dipengerusikan bersama oleh ketiga-tiga ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Melayu Betong ini, sebagaimana yang telah dilakukan pada hari ini. Dan semua wanita dan Pemuda PBB akan diserap terus untuk menjadi ahli dalam jawatankuasa itu nanti”.

“Penubuhan jawatankuasa itu nanti sekurang-kurangnya menjadi landasan untuk ketiga-tiga ranting PBB diKampung Melayu Betong ini untuk melaksanakan aktiviti sukan bersama dan menjaga kebajikan penduduk kampung disini. Dan mungkin kita boleh menambah acara lain untuk tahun-tahun yang akan datang, seperti acara untuk kanak-kanak sekolah atau acara untuk veteran lama bagi menyerikan aktiviti kita”. Tambah Isik.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Encik Tony Malang anak Chabu Pegawai JASA Betong dan Encik Blacky Sanggat Pegawai JASA Bukit Saban.

29 Mei 2010

TAKLIMAT SUKANEKA DAN PENYERAHAN BAJU KONTIJEN “PASSMA”.

Simbolik penyerahan baju kontijen oleh KK Hjh Rasidah kepada Pengerusi PBB

Betong, 28 Mei 2010. Kontijen pasukan sukaneka ranting Kampung Masjid / Passa Betong mengadakan taklimat berkenaan permainan sukaneka peringkat kampung melayu Betong 2010. Taklimat berkenaan diadakan di rumah Rokayah bt Hj Julaihi. Majlis yang bermula sekitar jam 8.30 malam berlangsung dalam suasana ceria.

Peserta sukaneka kontijen kampung Masjid Betong yang penuh berkeyakinan semua hadir untuk sesi taklimat berkenaan. Semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh peserta membayangkan kejayaan pada keesokan harinya.

Encik Sharkawi Amek selaku pengerusi majlis pada malam itu, yang juga bertindak sebagai koordinator pasukan memberi sedikit tip dan maklumat yang penting kepada semua peserta. Dengan penuh keyakinan semua peserta memberi perhatian dan menerima dengan penuh semangat.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau danEncik Abang Suhailie Pengerusi Ranting PBB Kampung Masjdi / Passa Betong merangkap penolong pengerusi JKKK Kampung Masjid Betong telah berkesempatan berjumpa dengan peserta dari Kampung Melayu Passa untuk berbincang tentang perbelanjaan dan kos yang di perlukan dalam menjayakan program sukaneka berkenaan.

Pihak Jawatankuasa JKKK Kampung Melayu Passa bersetuju dengan apa jua keperluan untuk majlis berkenaan dan sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebagaimana yang dicadangkan.

Peruntukan yang dipersetujui merangkumi kos untuk membeli pakaian, makanan dan minuman. Namun begitu, kos yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak bergantung kepada penyertaan peserta dalam kontijen. Ini bermakna siapa yang lebih banyak menghantar peserta maka lebih banyak kos yang dikeluarkan.

Taklimat tentang permainan telah dibentangkan oleh Encik Saleman Senin. Selaku Biro ICT JKKK Kampung Masjid Betong beliau juga bertanggungjawab menguruskan Buku Program Sukaneka berkenaan. Beliau telah menerangkan serba ringkas tentang perincian dan perjalanan sukaneka yang dijalankan pada keesokannya.

KK Hjh Rasidah Hj Julaihi Ketua Kampung Masjid Betong juga telah memberi kata-kata perangsang kepada semua peserta dan mengharapkan kerjasama semua peserta agar kejayaan akan dapat dikecapi. Beliau juga berpesan agar semua peserta menjaga imej pasukan demi kepentingan semua pihak. Berjuang dengan semangat kesukanan dan kerjasama berpasukanperlu diamalkan dalam usaha ini.

Majlis diakhiri dengan penyerahan baju kontijen oleh KK Hjh Rasidah kepada Pengerusi PPB Ranting Kampung Masjid / Passa Betong. Majlis simbolik tetapi penuh bermakna telah dirakamkan sebagai kenangan semua peserta. Seterusnya semua peserta telah diserahkan dengan baju kontijen sebagai semangat dalam menjayakan sukaneka pada esoknya.

24 Mei 2010

PENYERTAAN SUKANEKA PERINGKAT KAMPUNG MELAYU BETONG 2010

 AJK SUKANEKA RANTING KAMPUNG MASJID  /  PASSA  BETONG 2010


     KETUA KONTIJEN      :   KK HJH RASIDAH BT HJ JULAIHI
                                        (Kpg Masjid Betong)

     TIMBALAN                :   KK ABU SAMAT BIN LATIP
                                        (Kpg Melayu Passa Betong)

     KOORDINATOR         :   ENCIK SHARKAWI BIN AMEK

     KEBAJIKAN               :   SEMUA AHLI JKKK KPG MASJID BETONG
                                    :   SEMUA AHLI JKKK KPG MELAYU PASSA
                                        BETONG

    VISI                         :   BERSATUPADU, BERTIMBANG RASA,
                                       BERTOLERANSI, MENGHAYATI,
                                       PENGORBANAN, FAHAM.

    MISI                        :   MENANG, BERSEMANGAT KESUKANAN
                                       DAN PASRAH

    SLOGAN                   :   GO! PASSMA GO! 

16 Mei 2010

AKTIVITI 2 - JAWATANKUASA PROGRAM SUKANEKA KAMPUNG MELAYU BETONG 2010 ANJURAN JASA BETONG

JKKK KAMPUNG MASJID BETONG TELAH DIAMANAHKAN UNTUK MENJADI JAWATANKUASA BUKU PROGRAM DAN JEMPUTAN SEMPENA SUKANEKA KAMPUNG MELAYU BETONG ANJURAN JASA BETONG 2010

           TARIKH KEJOHANAN        :     29 MEI 2010 (SABTU)
           TEMPAT                              :     KOMPLEKS SUKAN BETONG


PENDUDUK KAMPUNG MASJID BETONG YANG BERGABUNG BERSAMA PENDUDUK KAMPUNG MELAYU PASSA BETONG TURUT MENYERTAI SUKANEKA BERKENAAN.

AKTIVITI JKKK KPG MASJID BETONG

KURSUS PELAN TINDAKAN DESA SIRI 9/2010

         Tarikh     :    04 - 06 April 2010
         Tempat   :    Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong

Catatan :

-  Kursus yang terpaksa dibatalkan kerana atas beberapa sebab.
-  Tiada kesinambungan bersama pegawai-pegawai yang mengendali program berkenaan (KEMAS Daerah)

AKTIVITI-AKTIVITI JKKK KPG MASJID BETONG TAHUN 2010

MESYUARAT MENGADAKAN KURSUS PELAN TINDAKAN DESA SIRI 9/2010

                   Tarikh    :     26 Mac 2010
                   Tempat  :     Rumah Encik Sharkawi bin Amek
                   Masa     :     jam 8.30 malam

Agenda :
1.   Ucapan alu-aluan pengerusi.
2.  Membincangkan mengenai Kursus
3.  Hal-hal lain


Kehadiran :
1.  KK Hjh Rasidah binti Hj Julaihi
2.  Encik Abg Suhailie bin Abang Pay
3.  Encik Majelan bin Adenan
4.  Encik Saleman bin Senin
5.  Encik Sharkawi bin Amek
6.  Tuan Hj Moslini bin Taip
7.  Cik Dyg Rakayah binti Abg Amit
8.  Cik Siti Hamdiah binti Hj Hussin



Keputusan Mesyuarat :
-  Surat pemberitahuan tentang kursus cuma diketahui semasa Setiausaha JKKK pergi ke Pejabat Kemas Betong untuk bertemu dengan salah seorang penyelia Kemas Betong.
-  Surat makluman tidak sampai kepada AJK JKKK Kampung Masjid Betong.
-  Kursus Pelan Tindakan Desa siri 9/2010
Anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA), Cawangan Sarawak, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
-  Tarikh Kursus   :  04 - 06 Mac 2010
-  Tempat              :  Dewan Al Husna, Masjid Jamek Betong
-  Sasaran            :  AJK JKKK Kampung Masjid dan penduduk kampung. (seramai 30 orang).